I made this widget at MyFlashFetish.com.

Lilypie Angel and Memorial tickers

Thursday, August 12, 2010

Alhamdulillah, Syukur ke Hadrat-Mu kerana Mengizinkan Kami Bertemu Kembali dengan Ramadhan Al-Mubarak

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan.. Selamat berpuasa kepada seluruh muslimin muslimat,. Mudah2an beroleh ketaqwaan..

"Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kekuatan azam dan semangat untuk mempertingkatkan ibadah kepada-Mu, Ya Allah, tolonglah kami agar sentiasa mengingati-Mu, tolonglah kami agar bersyukur terhadap nikmat-Mu, tolonglah kami agar d...apat memperelokkan ibadah kami terhadap-Mu". Amin Ya Rabbal Alamin..

Saturday, July 10, 2010

Minat Kepada Ayam Serama Berputik Kembali

Setelah sekian lama bersara dari memelihara ayam serama, kini minat kepada ayam tersebut berputik kembali selepas melihat blog-blog yang memaparkan binatang kecil tersebut. Pagi tadi kami sekeluarga pergi ke Tapak Ekspo di Seberang Jaya, yang mana di sana terdapat pertandingan kecantikan ayam serama. Sempatlah melihat gelagat ayam serama beraksi di atas pentas bagi menunjukkan kesegakkan diri masing-masing. Memandangkan ayam-ayam tersebut tersangatlah mahal, maka aku hanya membeli seekor yang tidaklah mahal sangat, sesuailah dengan bentuk tubuhnya yang tidak tarik dan selam.. Bolehlah dulu sebagai permulaan..














Thursday, July 8, 2010

Jadual Kuliah Bulan Julai

Berikut Jadual kuliah bulan Julai 2010:


2 Julai 2010: Kuliah Maghrib Surau kg. Jawa, Butterwort. (Kitab Sairus Salikin, jld 1)

4 Julai 2010: Kelas Al-Quran Muslimin di Taman Kenari, Kulim (slps Maghrib)

5 Julai 2010: Kelas Al-Quran Muslimat di Taman Kenari, Kulim (slps Asar)

6 Julai 2010: Kuliah Muslimat, Surau Taman Tiram, Lunas (slps Asar) (Penawar Bagi Hati)

7 Julai 2010: Kelas Al-Quran Muslimat di Taman Kenari, Kulim (slps Asar)

9 Julai 2010: Kuliah Maghrib di Masjid Taman Selasih, Kulim (Al-Quran dan Tajwid)

11 Julai 2010: Kelas Al-Quran Muslimin di Taman Kenari, Kulim (slps Maghrib)

12 Julai 2010: Kuliah Maghrib di Masjid Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim (Tafsir Al-quran)

13 Julai 2010: Kelas Al-Quran Muslimin di Taman Kenari, Kulim (slps Maghrib)

14 Julai 2010: Kelas Al-Quran Muslimat di Taman Kenari, Kulim (slps Asar)

18 Julai 2010: Kelas Al-Quran Muslimin di Taman Kenari, Kulim (slps Maghrib)

20 Julai 2010: Kelas Al-Quran Muslimin di Taman Kenari, Kulim (slps Maghrib)

21 Julai 2010: Kelas Al-Quran Muslimat di Taman Kenari, Kulim (slps Asar)

25 Julai 2010: Kelas Al-Quran Muslimin di Taman Kenari, Kulim (slps Maghrib)

26 Julai 2010: Kelas Al-Quran Muslimat di Taman Kenari, Kulim (slps Asar)

28 Julai 2010: Kelas Al-Quran Muslimat di Taman Kenari, Kulim (slps Asar)

Puasa Pada 27 Rejab

Kita sekarang sudah berada dipenghujung bulan Rejab, tinggal beberapa hari lagi yang boleh kita manfaat dengan amal ibadah di bulan Rejab. Antara ibadah sunat yang boleh kita amalkan ialah berpuasa pada hari 27 Rejab iaitu hari Nabi saw. diisra' mi'rajkan. Ini bertepatan dengan hadis nabi saw. yang bermaksud: "Dari Abu Hurairah r.a., telah bersabda Nabi saw; siapa berpuasa pada 27 Rejab, maka dituliskan untuknya puasa 60 bulan. Itulah hari Nabi saw diisra' mi'rajkan".

Marilah kita berusaha untuk berpuasa pada hari tersebut. Memandangkan hari tersebut jatuh pada hari Sabtu, maka sebaiknya kita rangkaikan dengan berpuasa sama ada sehari sebelum atau sesudahnya, kerana tidak digalakkan berpuasa semata-mata pada hari Sabtu dan Ahad (Sabtu hari mulia Yahudi & Ahad hari mulia Kristian. Dan sebaik-baiknya kita mula berpuasa pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu. Selamat beribadah dengan penuh keikhlasan.

Saturday, June 5, 2010

Israel Tetap Halang Kapal Bantuan Aktivis

BAITULMAQDIS 4 Jun - Israel akan tetap menghalang sebuah kapal bantuan yang disertai beberapa aktivis daripada menghampiri sempadan Gaza, Kata Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman hari ini.
Kerajaan rejim Zionis itu tetap berkeras menghalang kapal bantuan, Rachel Corrie daripada menghampiri perairan Gaza walaupun menerima tekanan antarabangsa ekoran serangan ganas tentera mereka terhadap sebuah lagi kapal bantuan, Mavi Marmara hingga menyebabkan beberapa aktivis terkorban Isnin lalu.
“Kami akan tetap menghalang kemaraan kapal itu (Rachel Corrie) dan mana-mana kapal yang cuba mengugat kedaulatan negara ini.
“Kapal Rachel Corrie tidak akan sama sekali diberi peluang untuk menghampiri perairan Gaza,” kata Lieberman kepada stesen televisyen tempatan. Utusan Malaysia (5 Jun 2010).

Demikian tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan rejim zionis laknatullah terhadap rakyat Islam di Palestin. Benarlah firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud: "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang (redha) kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah Itulah petunjuk (yang benar)". dan Sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, Maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu".

Bersama-samalah kita perbanyakkan doa sebagai ikhtiar kita yang mampu kita lakukan; "Ya Allah, sebagaimana Engkau pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah, maka kami memohon kepada-Mu Ya Allah,. Turunkanlah bantuan-Mu kepada saudara seagama kami di Palestin yang sedang dizalimi dan tindas. Hancurkanlah rejim zionis laknatullah. Amin..

Thursday, June 3, 2010

Qunut Nazilah (Ikhtiar kita sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang kepada saudara seagama)

Assalaamulaikumussalam WBT..

Kepada seluruh umat Islam, sama-samalah kita membaca doa Qunut Nazilah dalam setiap solat fardhu sebagai cara sokongan dan bantuan kita kepada konvoi NGO dari seluruh dunia termasuk dari Malaysia yang ditimpa musibah natijah daripada serangan Rejim Zionis ke atas Kapal Konvoi Life Line for Gaza. Tidak dilupakan, bersama-samalah juga kita memohon agar Allah SWT memberi pertolongan kepada saudara-saudara seagama kita yang masih ditindas dan dizalimi di seluruh dunia. Amin.

Berikut Qunut Nazilah yang dipetik dari JAKIM sebagai panduan kita bersama:





Maksudnya “ Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur

Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”
PANDUAN MEMBACA QUNUT NAZILAH

Qunut Nazilah boleh dibaca pada setiap solat fardhu: Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Ia dibaca pada rakaat terakhir selepas bangun dari Ruku’ untuk ‘Itidal, iaitu selepas membaca
سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ ، رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ.

Doa dibaca ketika berdiri untuk I’tidal. Ada tiga cara membaca doa tersebut. Boleh memilih salah satu dari cara-cara berikut:

1. Membaca doa Qunut sepertimana yang biasa dibaca ketika solat Subuh.
2. Membaca doa Qunut Nazilah sahaja sepertimana yang di dalam lampiran
3. Membaca doa Qunut subuh dan diikuti dengan doa Qunut Nazila
Marilah kita menyahut seruan dengan memperbanyakkan berdoa kepada Allah, khususnya mengamalkan qunut nazilah dalam solat kita. Juga sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang kita kepada saudara seagama kita yang ditindas dan dizalimi di seluruh dunia, ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa..

Tuesday, May 4, 2010

Bolehkah menggunakan Tangkal yang bertulisan ayat-ayat al-quran sebagai pendinding diri?

Soalan

Ada beberapa orang ustaz yang saya tanya mereka tentang penggunaan tangkal yang diperbuat daripada ayat-ayat al-Quran yang dipakai untuk berlindung diri daripada kejahatan jin dan manusia, bolehkah saya menggunakannya?


Jawapan

Di zaman permulaan Islam, amalan memakai tangkal untuk berlindung adalah amalan umum bagi rata-rata masyarakat jahiliyah.

Rasulullah s.a.w mengharamkan penggunaan tangkal dan menggantikannya dengan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa khusus untuk memohon daripada Allah, menghindari dari apa yg tidak diingini.

Dalam musnad Imam Ahmad, juzuk ke empat, halaman 156 disebut mahfum hadis, "Seiapa yang menggantung tangkal maka sesungguhnya, dia telah melakukan perkara syirik.

Hadis ini hadis umum. Pernah sahabat yang menerima ayat-ayat al-Quran untuk amalan meghindari daripada gangguan, khasnya makhluk halus, telah menulis ayat-ayat itu dikertas untuk digantungkan kepada anak-anak mereka yang belum pandai membaca al-Quran.

Apabila perkara ini sampai kepada Rasulullah s.a.w, baginda tidak melarang. Oleh demikian maka ada sebahagian pendapat yang mengatakan bahawa, kalau tangkal diperbuat daripada ayat-ayat al-Quran, maka ia diharuskan.

Ulama-ulama muktabar berpendapat seperti dalam sebut Kitab al-Fatawa az-Zahabiyyah (Fatwa-fatwa yang amat berharga) halaman 253, bahawa adapun penulisan ayat-ayat al-Quran dan nama-nama Allah S.W.T untuk dijadikan tangkal, maka ulama berselisih pendapat, di kalangan ulama salaf ada yang mengharamkannya secara mutlak ada sedikit yang mengharuskannya dengan syarat-syarat khusus.

Yang paling sahih, bahawasanya penggunaan tangkal sama ada al-Quran atau tidak, dilarang dalam hadis-hadis terdahulu, sedang keharusan yang Rasulullah sebutkan pada para sahabat, itu adalah pada permulaan Islam, apabila iman sudah tertanam dalam diri dan untuk mengelak daripada keburukan-keburukan yang boleh menjejaskan iman, maka dilarang sama sekali pengunaan tangkal, walaupun menggunakan ayat Quran kerana:

1. Mencegah daripada keburukan yang lebih besar.
2. Mengajar kesucian al-Quran dari terbawa hingga ke dalam tandas
3. Membulatkan keyakinan bahawa Allah S.W.T yang melindungi manusia daripada segala-galanya.

Wallauhu a'lam.

Dipetik dari (soal jawab bersama Tn. Guru Dato' Dr. Harun Din)

Saturday, May 1, 2010

Benarkah Ruh orang yang telah meninggal dunia boleh menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumahnya atau kampung halamannya?

Soalan

Ustaz, suami saya telah kembali ke rahmatullah kira-kira tiga bulan yang lalu. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini ada sesuatu yang pelik berlaku pada diri saya, iaitu pada setiap malam arwah mendatangi dan bergaul dengan saya. Kemusykilan saya ;

i) Bolehkah suami yang telah kembali ke rahmatullah, mendatangi semula dan bergaul, sepertimana mereka hidup pada malam-malam hari sebelum kematiannya?
ii) Bolehkah ruh suami saya menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumah atau kampung halamannya?
iii) Apakah benar ruh orang yang sudah meninggal, boleh balik memasuki tubuh anggota keluarganya, seolah-olahnya boleh berinteraksi dengan orang hidup.


Jawapan

Puan,
Menjawab soalan pertama, di sini ada dua episod daripada soalan ini, pertamanya, mendatangi isteri setelah suaminya meninggal iaitu 'tidur bersama', mungkin berlaku sebagai suatu mimpi indah atau keduanya, benar-benar berlaku dalam keadaan sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya yang terdahulu.

Kalau berlaku itu atas nama mimpi, memanglah ia sesuatu yang mungkin, lebih-lebih lagi berlaku kepada isteri yang amat menyayangi suaminya yang telah pergi menemui Allah lebih dahulu daripadanya.

Adapun mendatangi isteri dalam maksud ia benar-benar sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya maka ini adalah tidak mungkin dan tidak boleh berlaku kerana orang yang telah meninggal telah berpindah ke alam baqa' - alamul khulud - yang bermula daripada kubur.
Hadis Nabi s.a.w menyebut (yang bermaksud),"Alam kubur itu adalah suatu tempat tinggal sementara, tempat berhenti daripada tempat-tempat yang akan dilalui, menuju ke alam Akhirat, alam kubur adalah sebahagian daripada alam barzakh, maka yang telah dimasukkan ke alam kubur akan berada di dalamnya sehingga hari Kiamat yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia."

Adapun yang berlaku setelah yang didakwa oleh banyak orang, khasnya kepada saya, puan mesti yakin bahawa itu bukanlah suami yang sebenar.

Kalaupun berlaku sungguh, ia akan berlaku, tetapi bukan daripada suami. Tetapi ia dilakukan oleh makhluk lain yang bernama Qareen. Qareen ini memang wujud, dalam al-Qurannul Karim, terdapat istilah Qareen ini sebanyak 12 kali. Misalnya kita merujuk kepada Surah as-Shaffaat, ayat 51; yang bermaksud, salah seorang daripada yang telah meninggal yang menghadapi balasan Allah S.W.T, mengakui dengan mengatakan bahawasanya, adalah pada diri saya dahulunya ada Qareen.

Qareen dalam tafsir seperti al-Qurtubi dan al-Maraghi, disebut sebagai kawan atau teman yang begitu rapat. Ertinya, insan yang menjadikan Qareen sebagai teman rapatnya maka dia telah mendapat sejahat-jahat teman. Qareen adalah satu jenis daripada jenis-jenis Jin ataupun Syaitan.

Pada umumnya, apabila manusia bersahabat dengan syaitan serta meminta tolong daripadanya dan berbagai-bagai lagi, maka jadilah dia Qareen. Oleh itu, selepas daripada kematian manusia, Qareen ini akan melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak baik termasuklah dia boleh menganggu keluarga si mati dan mendatangi isterinya sebagaimana rupa suami terdahulu.
Oleh sebab itu puan tidak seharusnya mempercayai bahawa 'dia' adalah suami puan, kerana suami puan yang sebenarnya telah kembali ke rahmatullah.

Mengenai soalan kedua, orang yang telah meninggal dunia, ruhnya kembali kepada Allah S.W.T yang diistilahkan berada dalam alam Barzakh, ianya adalah alam Akhirat. Justeru insan yang telah pergi kepada-Nya tidak mungkin dan tidak boleh kembali ke alam dunia kerana Barzakh itu bermaksud pemisah atau penghalang. Ia seumpama sebuah tembok yang kukuh memisahkan di antara dua alam.

Maka orang yang telah kembali kerahmatullah atau kembali ke alam Barzakh ini, dia tidak boleh kembali. Dalam Surah az-Zumar, ayat 42; yang bermaksud, "Allahlah yang memisahkan nyawa dengan mati daripada makhluk-Nya dan memegang yang telah pasti mati ini dengan tidak membenarkannya kembali ke dunia."

Ayat al-Quran lain ada menyebut,"Bahawa selepas kematian, mereka akan kembali ke alam Barzakh sehinggalah kepada hari Kiamat."

Banyak ayat al-Quran dan al-Hadis yang menunjukkan bahawa ruh si mati berada dalam suatu kepungan Barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia. Sebagaimana kita ke alam dunia tidak boleh masuk ke alam Barzakh (tanpa ada sebab).

Logiknya kita lihat, kalaulah ruh orang yang telah mati itu boleh kembali ke dunia, boleh melakukan berbagai-bagai perkara, sudah tentu orang-orang yang telah meninggal itu seolah-olahnya tiada seksa kubur, tiada balasan dan seolah-olahnya mereka bebas ke sana ke mari.
Oleh itu, kita harus yakin bahawa ruh si mati tidak boleh kembali untuk menziarahi keluarganya, rumahnya atau sebagainya.

Kepada soalan ketiga, pada saya orang yang telah meninggal tidak boleh kembali ke dunia. Peninggalannya adalah peninggalan yang terakhir, sebab itu ia disebut kembali ke rahmatullah. Sama ada dia (si mati) berada dalam keadaan penuh dengan nikmat alam Barzakh yang bermula dari alam kubur, atau bermula dengan seksa kubur seperti yang sabit dalam nas-nas al-Quran dan as-Sunnah yang wajib diimani adanya azab kubur.

Dalam kedua-dua keadaan ini, si mati sudah tidak mungkin akan kembali ke dunia ini kerana dia berada dalam alam Barzakh.

Akan tetapi berlaku dalam dunia ini, orang mengatakan ruh orang mati, kembali ke dunia dan meminjam jasad-jasad yang tertentu yang jadi seperti orang kehilangan akal, bercakap dengan nada, irama dan kelakuan orang yang telah mati.

Daripada pengalaman saya, ada juga yang medakwa dirinya Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Ada juga pihak tertentu yang mengubat orang, yang mengajar ilmu-ilmu yang didakwa kununnya diambil daripada orang yang telah mati.
Semuanya ini adalah tidak benar dan ditolak oleh Islam.

Seolah-olah wujudnya fahaman mengembalikan ruh, dalam istilah Arabnya disebuttanasuthil arwah - reincarnation -. Fahaman ini ada dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba. Islam bersih daripada semua fahaman ini.

Umat Islam mesti beriman bahawa ruh adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh masuk dalam diri orang lain. Satu jasad satu ruh, apabila dipisahkan, jasad akan tinggal di alam dunia, ruh kembali ke alam Barzakh.

Apabila tibanya nanti di hari Qiamat, jasad akan dijadikan semula dan ruh akan mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah S.W.T. Alam Barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat.
Oleh kerana itu pada pandangan saya tidak timbul sama sekali manusia yang telah mati, ruhnya boleh menganggu atau menyakiti manusia. Waallahu'alam.

Dipetik dari http://www.darussyifa.org (soal jawab bersama Tn. Guru Dato' Dr. Harun Din)

Friday, April 30, 2010

Merawat Kanser Payu Dara Menurut Al-Quran

SETIAP wanita memang gementar apabila disahkan doktor menghidap kanser payu dara kerana penyakit itu memang sukar diubati dan boleh membawa maut. Bagaimanapun, semakin ramai doktor pakar berusaha mencari penawar untuk merawat dan menyembuhkan penyakit berbahaya itu.

Berbagai-bagai pula jenis ubat-ubatan moden dan alternatif muncul di pasaran dengan tujuan yang sama. Usaha mereka amat dihargai dan disanjung walaupun belum berjaya mengubati dan mencegah sepenuhnya. Akan tetapi usaha itu sedikit sebanyak dapat melegakan bebanan jiwa mereka yang sentiasa bimbang kerana penyakit itu boleh membawa maut.

Sesetengah pakar berpendapat punca kanser payu dara berkait rapat dengan makanan dan minuman atau pengambilan ubat-ubatan yang tidak teratur seperti keghairahan wanita untuk awet muda.

Adakalanya ubat-ubatan itu tidak terlepas daripada menimbulkan kesan sampingan terhadap pengguna, tetapi kerana mereka ingin terus kelihatan cantik dan awet muda, mereka kurang memikirkan tentang risikonya terutama wanita yang kukuh kedudukan kewangannya.

Ada juga sesetengah berpendapat bahawa penyakit payu dara disebabkan saluran sel-sel dan tisu organ payu dara tersumbat kerana minyak dan lemak dari makanan dan minuman telah membeku dijaringan dalam payu dara tersebut. Justeru, bagi wanita yang bersuami dianjurkan agar suaminya rajin merawati payu dara isterinya sebelum tidur dan sebagainya.

Bagi wanita yang masih mempunyai anak kecil yang sedang menyusu, maka hendaklah rajin memberi anaknya susu ibu dengan teratur selama dua tahun dan jangan terlalu bergantung pada susu dalam tin yang dijual di pasaran.

Bagaimana pula menurut al-Quran dan hadis tentang sebab terjadi kanser payu dara dan cara merawatnya? Adakah menyamai atau sejalan dengan pendapat pakar perubatan moden?

Perlu kita ketahui bahawa anak cucu keturunan Adam dijadikan oleh Allah daripada 'Sulbi dan taraib’ yakni dari air pati tulang punggung ayah bahagian bawah dan dari air susu atau pati susu ibu. Setiap wanita yang baru melahirkan anak, payu dara mereka dengan tiba-tiba mengandungi air susu untuk disedut oleh anak mereka Sebagai ganti makanan dan minuman untuk bayi membesar. Ini salah satu keajaiban kekuasaan Allah yang banyak mengandungi rahsia.

Di dalam Islam, seorang ibu dianjurkan menyusukan anak mereka selama dua tahun. Air susu tersebut banyak mengandungi khasiat dan manfaat terhadap bagi yang menyusuinya. Begitu juga bagi seorang ibu yang menyusukan anak, di samping mereka seorang yang penyayang, perbuatan itu juga dapat membantu terhindar daripada penyakit kanser atau barah payu dara.
Air susu seorang ibu itu pada hakikatnya adalah darah, ia banyak mengandungi berbagai jisim untuk kesihatan tubuh si anak.

Kalau seorang ibu tidak menyusukan anak mereka tanpa alasan yang sah, maka mereka mendapat dua bahaya. Pertama, bahaya mengecewakan anaknya sehingga ibu itu mendapat dosa. Kedua, bahaya akan mendapat penyakit kanser payu dara kerana air susu yang telah disediakan dan diproses oleh Allah dari zat makanan dan minuman melalui saluran payu dara untuk anak yang akan menyusuinya.

Akan tetapi kerana si ibu diburu keinginan untuk kelihatan awek muda dan supaya payu daranya tetap segar dan menggebu, maka dia tidak mahu anaknya bergayut di payu daranya. Mereka biarkan saja air susu itu berkumpul dalam kantung payu daranya, maka lama kelamaan air susu itu akan berubah menjadi darah atau daging atau lemak dalam saluran atau jaringan payu dara itu sehingga jaringan atau saluran tersebut menjadi tersumbat kerananya. Maka, payu dara akan mengeras, bukan mengeras sihat, tapi mengeras bengkak dan terasa sakit kerana tumbuhnya daging atau lemak bukan pada tempatnya. Dan inilah antara penyebab berlakunya kanser.

Untuk mengubati penyakit kanser payu dara itu, ikutilah peraturan di bawah ini. Pertama, sebelum tidur malam, masak beras kira-kira segenggam sampai hampir menjadi lontong.
Dalam keadaan panas-panas itu masukkan ke dalam satu plastik, ikat rapat dengan getah dan bungkus kali kedua dengan kain yang agak tebal. Ikat dengan tali atau getah supaya nasi tidak terburai.

Baca Surah Fatihah sekali, Surah Ikhlas tiga kali dan Selawat Nabi tiga kali dengan niat bersungguh-sungguh di dalam hati supaya penyakit kanser itu dilenyapkan Allah SWT.
Setelah selesai membaca bacaan tersebut di atas itu, lalu urut-urutkan bungkusan nasi panas itu ke payu dara hingga panasnya meresap ke dalam payu dara sambil membaca kalimat takbir (Allahu Akbar) terus menerus sampai nasi itu dingin.

Lakukan cara begini selama 21 malam. Insya-Allah anda akan melihat manfaatnya luar biasa. Sebagai manusia, kita hanya berusaha dan berikhtiar. Kita wajib yakin bahawa Allah SWT mudah bagi-Nya untuk melenyapkan penyakit itu kembali menjadi air, menjadi angin, menjadi peluh dan sebagainya, dengan berkat kemuliaan dan keagungan wahyu¬Nya yang berupa surah-surah yang dibaca itu dan berkat kemuliaan Nabi Muhammad SAW. Sebagai seorang Islam kita wajib meyakini bahawa tidak ada suatu penyakit pun yang mampu melawan firman Allah SWT.


Dipetik dari Majalah Milenia: Mac 2010, ruangan kesihatan. Oleh Raflis Sabirin

Wednesday, April 28, 2010

BERTASBIH DENGAN JARI ATAU DENGAN TASBIH PETIKAN DARI ARTIKEL US NIK AB RAHIM DLM SOLUSI,RUANGAN MAQASID



”Jangan guna tasbih, tasbih tu bid’aah? Pakcik tak boleh guna” kata seorang pemuda dengan keras dan lantang kepada pakcik imam sebuah surau kampung. Pakcik imam menjawab sambil tersenyum, ”Takpe, saje je nak guna tasbih ni, biasanya pakcik guna jari”.

Begitulah gambaran satu senario yang mungkin berlaku dalam masyarakat kita. Tulisan ini tidak mahu membincangkan soal cara dan uslub pemuda tersebut menegur pakcik imam tadi. Situasi di atas agak keras, kasar dan tidak sesuai. Agak keterlaluan jika terus membidas seseorang dengan kata-kata bid’ah. Jika ingin menegur ada cara dan uslub yang lebih baik. Tulisan sederhana ini hanya ingin mengenengahkan isu penggunaan tasbih dan jari dalam zikir, antara kedua-dua cara manakah yang lebih baik? Alat tasbih di sebut subhah dalam bahasa Arab dan dikenali dengan nama tasbih dalam masyarakat Melayu. Ada segelintir orang memang suka menggunakan tasbih, sehingga setiap masa dalam poket baju melayunya ada tasbih. Manakala segelintir lagi, langsung tidak suka menggunakan tasbih, bahkan dia mampu juga berzikir. Zaman sekarang sebagai ganti kepada rantai, muncul rekaan terbaru sejenis alat yang diperbuat daripada besi mengandungi nombor, orang yang berzikir hanya memetik dengan ibu jari atas butang yang disediakan mengikut bilangan yang dikehendaki. Tetapi, antara penggunaan jari dan alat-alatan seperti itu yang manakah lebih baik?. Guna rantai tasbih atau guna jari? Walaupun tujuan kedua-duanya adala sama, iaitu untuk membilang zikir yang dibaca, tapi ia tetap ada perbezaan.

Sebenarnya ramai cendekiawan Islam yang menulis berkenaan hukum atau sejarah penggunaan rantai tasbih. Mungkin yang terawal ialah Imam al-Suyuti (wafat 911H) dalam tulisan beliau yang bertajuk ”al-Minhah fi al-subhah”. Kemudian diikuti oleh muridnya Ibn Tulun (wafat 953H) dengan nama ”al-Mulihhah fi ma warada fi asl al-subhah”. Selepas itu, muncul al-Sheikh Abd al-Hayy al-Laknawi (wafat 1304H) yang mengarangkan kitab ”Nuzhat al-Fikr fi subhat al-zikr”. Beliau hanya menyebut riwayat dan hukumnya. Namun kesemua karangan tersebut cenderung kepada pensyariatan menggunakan alat tasbih itu. Satu karya semasa yang menarik minat penulis ialah ”al-Subhah tarikhuha wa hukmuha” karangan al-Sheikh Bakr Abu Zayd. Beliau mengkaji sejarah kewujudan penggunaan tasbih dalam peribadatan umat-umat lain seperti Budha, Hindu dan Nasrani serta bagaimanakah kemasukannya dalam Islam melalui puak Rafidah, dan ahli sufi. Menurut beliau, dalam sejarah orang Arab sebenarnya mereka tidak pernah mengenali nama ’al-subhah’. Penggunaan tasbih adalah tashabbuh (meniru) cara puak-puak agama lain sedangkan sunnah mengajar kita menggunakan jari.

Berzikir menggunakan jari adalah satu sunnah dalam Islam sama ada jari kanan atau kiri. Ini adalah amalan turun temurun di kalangan orang-orang Islam. Selepas zaman sahabat dan zaman awal tabi’in baru masuk penggunaan zikir dengan biji atau batu yang disusun dengan benang. Kemudian ia dikenali dengan nama al-subhah dan menjadi lambang gerakan sufi yang melampau atau rafidah. Lebih teruk lagi, ada yang mendakwa elok digantung pada leher dan menjadi lambang para malaikat. Hal yang perlu diketahui ramai ialah, sabit dalam sunnah sama ada secara qawli, fi’li atau taqriri bahawa yang diajar ialah mengira zikir dengan menggunakan jari. Cara inilah yang dilakukan zaman berzaman. Ia membuktikan bahawa Islam ini mudah dan hukum-hukumnya berada dalam lingkungan kemampuan umat Islam. Namun, apakah penggunaan alat tasbih yang diamalkan oleh kebanyakan masyarakat kita itu salah dan terus boleh dilabelkan sebagai bid’ah? Tidak sesekali perlu dilabelkan seperti itu, bahkan ini mungkin akan mengundang perbalahan dan pertelingkahan dalam masyarakat.

Dari segi sejarahnya, Rasulullah s.a.w. mengajar umat Islam membilang zikir dengan jari jemari. Tiada satu hadis sahih yang diriwayatkan tentang zikir menggunakan batu atau biji-bijian. Kebanyakan hadis yang disebut adalah hadis yang lemah. Selepas itu muncul alat subhah atau rantai tasbih. Sumber-sumber sejarah menyatakan bahawa subhah ini adalah benda baru yang dimasukkan dalam agama Islam. Ada pendapat mengatakan bahawa ia mula dikenali sejak 800M. Ia adalah antara cara peribadatan kalangan penganut budha, hindu dan lain-lain. Banyak sumber-sumber sejarah yang dikemukakan oleh Syeikh Bakr Abu Zayd r.h antaranya ialah al-mawsu’ah al-arabiyyah al-muyassarah, dairah al-ma’arif al-Islamiyyah dan fatawa Rashid Rida. Maka, ditegaskan bahawa rantai tasbih atau biji tasbih yang digunakan untuk membilang tasbih atau zikir yang dilakukan oleh seseorang tidak wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. Bahkan pada zaman sahabat ataupun tabi’in rantai tasbih ini masih tidak digunakan. Oleh kerana itu, sesetengah pakar sejarah berpendapat ia mula dikenali dalam masyarakat Islam apabila dibawa masuk oleh masyarakat non muslim. Justeru, sebahagian ulama mengkategorikan ia sebagai bid’ah. Dalam Islam, semenjak zaman para al-salaf al-soleh, mereka membilang bilangan tasbih dan zikir mereka dengan menggunakan jari jemari. Ada riwayat yang mengatakan sebahagian al-salaf membilang tasbih dan zikir mereka dengan menggunakan batu-batu kecil. (Al-Sharbasi, Yas’alunaka fi al-Din wa al-Hayah 6/477). Namun riwayat-riwayat tersebut dihukumkan lemah oleh ulama. (Bakr Abu Zayd, al-Subhah 7-16).

Justeru, kesimpulan yang saya boleh buat di sini, tidak perlulah dilabelkan seseorang pembawa bid’ah sekiranya niat dan tujuan ia menggunakan alat tasbih adalah hanya untuk membilang zikirnya. Sheikh Uthaimin dan al-Sharbasi ada menegaskan sekiranya seseorang mempunyai niat ikhlas menggunakan rantai tasbih untuk membantunya membilang jumlah tasbih dan zikir, maka ia tidak salah. Manakala jika sekiranya, seseorang menggantungkan rantai tersebut pada tengkuk dan lehernya semata-mata kerana tujuan riya’, menunjuk-nunjuk atau sebagainya, ia adalah perbuatan yang dilarang. Begitu juga sekiranya ia sentiasa memegang rantai tasbihnya untuk menunjuk-nunjuk atau hanya untuk bermain-main tanpa berzikir sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan orang awam, maka ia wajib dihindari. InsyaAllah, mudahan-mudahan masyarakat Islam di Malaysia tidak ada yang melakukan perbuatan seperti itu. Namun yang perlu ditekankan ialah lebih afdhal baginya menggunakan jari jemarinya sendiri. Hal ini kerana menggunakan jari adalah cara sunnah yang diajarkan Nabi s.a.w. serta ditunjukkan oleh para sahabat r.a. Tambahan pula, jari-jari yang digunakan untuk membilang zikir-zikir tersebut akan menjadi saksi untuk kita pada hari akhirat nanti. Firman Allah Taala (Yasin : 65) : Maksudnya : “Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami, dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa Yang mereka telah usahakan”.

Sabda Nabi s.a.w kepada wanita : يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ اعْقِدْنَ بِالْأَنَامِلِ فَإِنَّهُنَّ مَسْئُولَاتٌ مُسْتَنْطَقَاتٌ Maksudnya : “Wahai sekalian wanita, gunalah jari jemari (untuk membilang zikir) kerana sesungguhnya ia akan disoal dan berkata-kata”. Oleh itu, untuk memperbaiki dan mencantikkan lagi zikir kita, seeloknya kita mengikut cara tunjuk ajar sunnah Nabi s.a.w. Mudah-mudahan Allah Taala menerima segala amalan dan niat ikhlas kita untuk menjadi pengikut setia Rasulullah s.a.w.
MUHAMMAD TAKIYUDIN SUKERI © 2008. Design by :vio Templates Sponsored by: gold bola