I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, January 26, 2010

Program Motivasi Pelajar Ting. 5

25 Januari 2010 merupakan hari pendaftaran pelajar tingkatan 4. Saya diamanahkan untuk menguruskan pelajar-pelajar tingkatan 5 yang tidak terlibat dengan pendaftaran pelajar tingkatan 4. Alhamdulillah tugas berjaya dilaksanakan.



pelajar kusyu' mendengar ceramah.


Wednesday, January 20, 2010

HUJJAH MENOLAK PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH KRISTIAN





Mohd Aizam bin Mas’od
Cawangan Aqidah
Bahagian Penyelidikan

Abstrak

Isu tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini seharusnya ditangani dengan bijak. Perbincangan ilmiah dengan memahami maksud tersurat dan tersirat terhadap tuntutan ini harus diselami oleh semua pihak. Kalimah Allah merupakan kalimah suci yang melambangkan Islam itu sendiri. Umat Islam semestinya mempertahankan penggunaan kalimah ini agar tidak tersasar dari maksud sebenar. Ia adalah kewajipan bagi umat Islam dalam mempertahankan kesucian Islam itu sendiri.PendahuluanPada 31 Disember 2007, pengarang akhbar Herald-The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew menyatakan bahawa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memperbaharui permit penerbitan akhbar itu tanpa larangan menggunakan kalimah 'Allah'. Bagaimanapun kerajaan menegaskan bahawa larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ masih kekal. Pada 3 Januari 2008, cabinet mengekalkan larangan bagi semua agama kecuali Islam daripada menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan akhbar masing-masing. Sebelum ini Kabinet telah memutuskan keputusan yang sama dalam mesyuarat pada 18 Oktober dan 1 November 2006. Pada 19 Mac 2008, Gereja Katolik telah memohon di Mahkamah Tinggi untuk melakukan semakan kehakiman terhadap larangan penggunaan kalimah ‘Allah’. Pada 5 Mei 2008, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) telah membuat keputusan membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk membuat semakan kehakiman (undang-undang) terhadap larangan menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly. Oleh itu, artikel ini digarap dalam rangka menyediakan hujah menolak penggunaan kalimah ’Allah’ oleh penganut Kristian. Alasan Gereja Katolik Menggunakan Kalimah ‘Allah’Dalam akhbar The Sun bertarikh 24 Disember 2007, terdapat laporan bertajuk ‘Church leaders explain use of 'Allah'. Terdapat lima alasan utama yang dikemukakan oleh laporan tersebut mengapa Gereja Katolik ingin meneruskan penggunaan kalimah ‘Allah’ di dalam akhbar terbitan mereka. Alasan yang dikemukakan ialah seperti berikut:a) Mendakwa mereka mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai terjemahan istilah God dan ‘Tuhan’ sebagai terjemahan untuk istilah Lord.b) Mendakwa bahawa mulai awal abad ke-19, para penganut Katolik di Malaya telah pun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan kalimah ‘Allah’ telah digunakan sebagai terjemahan kepada istilah God. Para penganut Katolik Malta juga menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan dan demikian juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.c) Mendakwa ayat-ayat al-Quran sendiri telah menunjukkan bahawa golongan bukan Islam juga telah menggunakan lafaz Allah.d) Mendakwa bahawa segmen (terjemahan) dalam bahasa Malaysia diwujudkan untuk memenuhi keperluan kepelbagaian etnik dan bahasa yang wujud di Malaysia sebagaimana yang wujud di dalam populasi penganut Katolik di Malaysia.e) Mendakwa kerajaan tidak mempunyai hak untuk campurtangan dalam urusan dalaman gereja berdasarkan hak yang diberi oleh Perkara 11(3)A Perlembagaan Persekutuan.Hujah-hujah Menolak Alasan Pihak Gereja KatolikAlasan pertama: Mendakwa mereka mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan ‘Allah’ sebagai terjemahan istilah God dan ‘Tuhan’ sebagai terjemahan untuk istilah Lord.Hujah-hujah Menolak:a) Kalimah ‘Allah’ adalah kata nama khas berasal daripada bahasa Arab. Kalimah ini tidak boleh digunakan dalam bentuk atau makna-makna lain. Menurut nahu Arab, kalimah ini tidak boleh diumum, dikecil, dilelaki, diperempuan atau diterbitkan nama-nama lain daripadanya. Kalimah ‘Allah’ adalah bebas dari segi struktur nahu dan maknanya dari segala korupsi. Kita tidak boleh memanipulasikannya dengan apa cara sekalipun dalam bahasa asalnya. Dari segi struktur linguistik, kalimah ‘Allah’ lebih superior daripada apa jua perkataan daripada apa jua bahasa dalam memelihara dan mempertahankan makna ke-Esaan dan keunikan satu-satunya Tuhan yang layak disembah . Oleh kerana itu, umat Islam tidak sekali-kali menterjemahkan ‘Allah’ kepada apa jua bahasa melainkan dikekalkan lafaznya yang asal iaitu ‘Allah’.b) Di peringkat antarabangsa, penggunaan kalimah ‘Allah’ dari segi istilah adalah amat sinonim dengan agama dan umat Islam. Ia diiktiraf oleh kamus serta eksiklopedia terkemuka di dunia. Antaranya:i. Kamus Oxford - Allah : Name of God among Muslims.ii. Ensiklopedia Britannica - Allah : “God”, the one and only God in the religion of Islam.iii. Ensiklopedia Katolik - Let it be noted that although Allah is an Arabic term, it is used by all Moslems, whatever be their language, as the name of God.c) Dalam konteks Malaysia kalimah ‘Allah’ tidak diterjemahkan kepada bahasa Melayu atau bahasa Malaysia malah ia dikekalkan tanpa terjemahan. Oleh itu kalimah ‘Allah’ di Malaysia adalah merujuk terus kepada makna yang terkandung di dalam teks al-Quran tanpa pengubahsuaian pada lafaz (terjemahan) mahupun maksud kalimah tersebut. Ini terbukti sebagaimana definisi ‘Allah’ yang kemukakan oleh Kamus Dewan Edisi Empat:Allah : Ar (Asal bahasa Arab) Tuhan (Yg Esa); ~ azzawajalla Tuhan Yg Maha Baik dan Maha Mulia; ~ subhanahu wa taala terpujilah Tuhan yg Maha Tinggi.Kamus Pelajar pula mendefinisikan kalimah ‘Allah’ seperti berikut:Tuhan Yang Maha Esa, Yang bersifat dengan sifat-sifat Yang Maha Sempurna dan Yang mencipta alam ini.Oleh itu kalimah ‘Allah’ tidak boleh dianggap sebagai terjemahan tuhan dalam bahasa Melayu atau ‘god’ dalam bahasa Inggeris kerana ia adalah lafaz bahasa Arab yang dikekalkan sebagai mematuhi kitab suci umat Islam yang telah membudaya dalam masyarakat Islam dan dimaklumi sebaiknya oleh bukan Islam di negara ini.d) Perbuatan pihak Gereja Katolik menterjemahkan perkataan ‘god’ kepada ‘Allah’ juga tidak menepati istilah yang digunapakai oleh masyarakat di negara ini. Perkataan ‘god’ menurut Kamus Dewan Inggeris-Melayu ialah:n 1. male deity, dewa, tuhan; (archaic) betara: the Greek ~s, dewa dewa Yunani; 2. idol, berhala, patung; 3. so., st. deified, tuhan: money has become his ~, wang telah menjadi tuhan baginya; make a ~ of /so.,st/, bertuhankan /sso, sst/; 4. G~, Tuhan; (in Islam) Allah.Takrifan ini dibuat oleh Kamus Dewan berdasarkan budaya yang menjadi amalan masyarakat di negara ini. Ini bermakna ‘god’ bagi selain Islam diterjemahkan sebagai dewa dan tuhan. Manakala ‘God’ (huruf ‘g’ besar) ia digunakan sebagai kata ganti nama yang merujuk kepada ‘Allah’ dan bukan terjemahan bagi kalimah ‘Allah’ dalam bahasa Inggeris (seperti pada takrif no. 4 di atas). Ia seperti juga umat Islam menggunakan huruf besar untuk setiap huruf pertama bagi kata-kata ganti nama yang lain apabila merujuk kepada ‘Allah’ seperti Aku, Kami, Dia dan Engkau.e) Bible bahasa Melayu yang didakwa sebagai rujukan kepada penggunaan kalimah ‘Allah’ juga tidak boleh diterima berdasarkan faktor kredibiliti penterjemahan dan perundangan Malaysia. Maksud kredibiliti perterjemahan iaitu sehingga kini tidak diketahui pihak berautoriti yang terlibat dalam penterjemahan Bible ke dalam bahasa Melayu (misalnya adakah Dewan Bahasa dan Pustaka dirujuk dalam hal ini?). Tambahan pula, faktor perundangan menegah penggunaan kalimah-kalimah tertentu yang menjadi hak eksklusif umat Islam untuk digunakan oleh bukan Islam. Oleh itu alasan yang mengatakan mereka merujuk kepada Bible bahasa Melayu adalah tertolak dengan sendirinya kerana kesahihan penterjemahan Bible tersebut boleh dipertikai.Alasan kedua: mendakwa bahawa mulai awal abad ke-19, para penganut Katolik di Malaya telah pun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan perkataan ‘Allah’ telah digunakan sebagai terjemahan kepada istilah God. Para penganut Katolik Malta juga menggunakan perkataan ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan dan demikian juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.Hujah-hujah Menolaka) Alasan ini adalah bertitik tolak daripada sejarah kedatangan mubaligh Kristian ke Tanah Melayu dan Nusantara. Sejarah telah mencatatkan antara misi utama kedatangan penjajah Barat ke Asia Tenggara adalah untuk mengaut hasil bumi dan menyebarkan agama Kristian ke seluruh rantau ini. Antara usaha-usaha yang giat dilakukan oleh para mubaligh ini ialah menterjemahkan Bible ke dalam bahasa penduduk tempatan termasuk menjalankan upacara keagamaan dalam bahasa yang difahami oleh masyarakat setempat.Sebagai contoh, terjemahan Bible oleh Dr. Mekhior Leidekler dalam tahun 1733, telah diterima sebagai satu hasil terjemahan yang standard dan digunakan dengan meluas pada abad ke-18 dan ke-19 di Semenanjung Tanah Melayu dan Indonesia. Kegiatan menterjemah Bible ini telah terus meningkat dengan munculnya penjajah Inggeris di Tanah Melayu selepas menguasai Pulau Pinang pada tahun 1786 dan Melaka pada tahun 1795.Stamford Raffles ialah seorang tokoh penjajah Inggeris yang terlibat secara langsung dalam kegiatan mengembangkan agama Kristian menerusi kegiatan menyebar terjemahan kitab Bible.Dalam tahun 1852 versi terjemahan dalam tuliasan rumi dan jawi diterbit dan disebarkan dengan meluas di Tanah Melayu. Stamford Raffles juga merupakan seorang penyokong kuat usaha para mubaligh Protestant dari Pertubuhan Mubaligh London yang berhasrat untuk mendirikan pusat percetakan di Melaka, Pulau Pinang, Singapura dan Betawi. Selain mencetak terjemahan Bible, kegiatan percetakan ini juga menerbitkan majalah-majalah Melayu yang mengandungi pelbagai bidang ilmu pengetahuan yang diselitkan dengan propaganda Kristian dengan bertujuan pengembangan agama di Tanah Melayu. Sekitar tahun 1821 – 1905 pelbagai majalah diterbitkan seperti Buletin Arifin, Cermin Mata, Sahabat dan Warta Melayu.Kegiatan menyebarkan bahan propaganda Kristian ini kemudiannya telah disertai oleh para paderi Protestant dari Amerika Syarikat yang mewakili Lembaga Pesuruhjaya-pesuruhjaya Amerika di Luar Negeri (The America Board of Commisioners of Foreign Missions). Kesemua fakta ini menunjukkan ada alasan yang nyata untuk kerajaan tidak membenarkan pihak Kristian pada hari ini menggunakan kalimah ‘Allah’ di dalam Bible bahasa Melayu. Ini kerana terjemahan tersebut tidak melambangkan literature sebenar doktrin agama Kristian sebaliknya bahasa hanya dieksploitasi sebagai perantara untuk menyebarkan dakyah Kristian.b) Percubaan untuk membandingkan Malaysia dengan negara-negara lain yang menggunakan kalimah ‘Allah’ bagi merujuk kepada ‘god’ juga tertolak. Ini kerana setiap bahasa yang digunakan oleh setiap bangsa di negara tertentu mempunyai sejarah dan kebudayaan yang berbeza. Dalam kes ini latar belakang bahasa Melayu yang digunakan oleh penduduk Malaysia lahir daripada rahim agama Islam dan kebudayaan Melayu – budaya Melayu itu sendiri terhasil daripada agama Islam. Oleh itu, ia wajib mencerminkan kelaziman Melayu yang berpunca daripada agama Islam. Ini sudah tentu berbeza dengan latar belakang bahasa Melayu yang terdapat di Indonesia dan Singapura.c) Berkenaan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut Kristian di Asia Barat juga tidak boleh dijadikan hujah. Bangsa Arab bukan Islam sememangnya telah lama menggunakan kalimah ‘Allah’ berdasarkan faktor teologi dan kebudayaan yang telah sedia wujud di Asia Barat. Perkara ini dijelaskan sendiri oleh al-Quran apabila al-Quran datang untuk menjernih dan menyucikan semula penyalahgunaan maksud kalimah ‘Allah’ yang digunapakai oleh golongan Jahiliyyah dan ahli kitab yang terdiri daripada Yahudi dan Nasrani.d) Dalam konteks etimologi dan semantik pula, alasan Gereja Katolik untuk merujuk kepada masyarakat Kristian Arab adalah tersasar jauh. Mereka tidak boleh membandingkan apa yang berlaku kepada Kristian Arab dengan Kristian di Malaysia. Apa yang berlaku di negara-negara Arab ialah pihak Kristian Arab menterjemahkan Bible daripada bahasa Suryani (Syria/Syam) atau Aramik dan bahasa Ibrani (Hebrew) kepada bahasa Arab. Perlu diketahui bahasa Arab, Aramik dan Ibrani berada dalam rumpun bahasa yang sama iaitu rumpun Semitik. Oleh itu, Kristian Arab mempunyai hak untuk berhujah bahawa kalimah ‘Allah’ berkemungkinan berasal daripada nama asal tuhan mereka dalam bahasa Aramik atau Ibrani. Tetapi apa pula rasional pihak gereja Kristian untuk menterjemahkan ‘god’ dalam Bible bahasa Inggeris kepada ‘Allah’ dalam Bible bahasa Melayu? Bukankah kedua-duanya adalah dua rumpun bahasa yang jauh berbeza dari segi etimologi dan semantik bahkan suasana yang membudayai penggunaan bahasa-bahasa itu?Alasan ketiga: Mendakwa ayat-ayat al-Qur’an sendiri telah menunjukkan bahawa golongan bukan Islam juga telah menggunakan lafaz Allah.Hujah-hujah menolak:a) Antara ayat yang sering dirujuk oleh pihak gereja Katholik ialah surah al-‘Ankabut ayat 61:Maksudnya: Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan memperjalankan matahari dan bulan?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Maka mengapa mereka terpedaya?.Begitu juga surah al-Ma’idah ayat 73:Maksudnya: Demi sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu daripada tiga tuhan”. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.Kedua-dua ayat tadi sebenarnya tidak boleh menjadi hujah bagi golongan bukan Islam untuk menggunakan kalimah ‘Allah’. Ia berdasarkan alasan-alasanberikut:i. Dalam surah al-‘Ankabut ayat 61, al-Qur’an hanya merakamkan sejauhmana kefahaman masyarakat Arab Jahiliyyah menggunakan kalimah ‘Allah’. Ia bukan untuk mengiya atau membenarkan penggunaan tersebut. Sebaliknya ia mahu menjelaskan bagaimana kalimah ‘Allah’ sudah dikenal oleh masyarakat Arab sebelum Islam. Daripada informasi ayat-ayat seperti ini, al-Qur’an menjelaskan orang Arab Jahiliyyah hanya mengenal Allah sebagai (1) pencipta langit dan bumi; (2) yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; (3) yang menurunkan air dari langit; dan (4) tempat menggantungkan harapan. Konsep ini jelas bertentangan dengan konsep ‘Allah’ yang sebenar iaitu sebagai Zat yang wajib disembah dan tidak dipersekutukan.ii. Manakala surah al-Ma’idah ayat 73 pula tidak boleh menjadi alasan kepada pihak Kristian untuk menggunakan kalimah ‘Allah’. Ini kerana Allah SWT sendiri menafikan golongan yang mengatakan Zat-Nya itu satu oknum daripada tiga oknum (triniti). Malah mereka dianggap kafir. Ini bermakna sebutan ‘Allah’ yang keluar dari lidahgolongan Kristian itu adalah sia-sia dan tiada nilai di sisi Allah kerana ia tidak merujuk kepada kalimah ‘Allah’ yang sebenar. Sebagaimana maklum, kalimah ‘Allah’ merujuk kepada zat (esensi) yang dinamakan. Sebagai perumpamaan mudah, perkataan ‘kereta’ adalah merujuk kepada kenderaan bermotor. Oleh itu, tiada makna bagi orang yang menggunakan perkataan ‘kereta’ untuk merujuk kepada alatmenjahit pakaian. Sekiranya ia masih menggunakan perkataan ‘kereta’ tetapi merujuk kepada alat yang salah, ini bermakna penggunaan perkataan itu adalah sia-sia dan tidak bermakna.b) Menjadikan al-Quran sebagai rujukan untuk menyokong alasan golongan bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’, bukanlah satu alasan bagi Gereja Katolik tetapi hujah bagi umat Islam. Ia melambangkan kegagalan Gereja Katolik untuk berhujah berasaskan teks asal kitab agama mereka. Bagi umat Islam, ini menjadi bukti bahawa al-Quran merupakan kitab suci yang memiliki fakta-fakta yang utuh dan konsisten. Ia juga menjadi bukti bahawa Gereja Katolik menggunakan al-Quran sebagai sumber paling dipercayai untuk mengakui ‘Allah’ sebagai nama tuhan berbanding berhujah berdasarkan perbahasan sejarah dan ilmu bahasa. Oleh yang demikian, fakta-fakta mengenai ‘Allah’ sepertimana yang dibentangkan oleh al-Quran juga hendaklah diterima. Atau adakah Gereja Katolik ingin mengatakan bahawa lafaz ‘Allah’ di dalam al-Quran itu merujuk kepada lafaz Elohim dalam kitab asal mereka berbahasa Ibrani? Jika kalimah ‘Allah’ dan Elohim itu merujuk kepada hakikat yang sama, mengapa pula konsepnya berbeza. Al-Qur’anmengatakan Allah itu Maha Esa dan tidak mempunyai anak sebaliknya Gereja Katolik berpegang kepada konsep triniti. Ini sekaligus member makna konsep ‘Allah’ di dalam Islam adalah amat konsisten sehingga umat Islam tidak perlu menterjemahkannya kepada mana-mana bahasa dunia. Ia berbeza dengan konsep ketuhanan agama Kristian yang tidak memiliki sumber yang jelas dan konsisten sehingga memerlukan penterjemahan dan pinjaman daripada bahasa lain.Alasan keempat: Mendakwa bahawa segmen (terjemahan) dalam Bahasa Malaysia diwujudkan untuk memenuhi keperluan kepelbagaian etnik dan bahasa yang wujud di Malaysia sebagaimana yang wujud dalam populasi penganut Katolik di Malaysia.Hujah-hujah Menolak:a) Alasan penterjemahan kepada Bahasa Malaysia sebagai lambing kepelbagaian yang wujud dalam populasi masyarakat Kristian Katolik juga tidak boleh diterima. Perlu diketahui bahawa bahasa Malaysia berasal daripada Bahasa Melayu. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyebut Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia. Perlu diingat bahawa ketika perlembagaan digubal, istilah “Malaysia” belum wujud. Oleh itu, apabila kita merujuk kepada bahasa Malaysia ia sudah tentu merujuk kepada bahasa Melayu yang sekaligus merujuk kepada masyarakat Melayu Islam. Justeru peristilahan-peristilahan khusus yang telah menjadi syiar dan perlambangan kepada masyarakat Melayu Islam sudah tentu tidak sekali-kali boleh diubah konsepnya untuk diterap kepada satu budaya dan agama yang lain.b) Memaksakan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam kalangan Kristian Katolik yang bertutur dalam bahasa Melayu di negara ini juga, secara logiknya sudah pasti memberi kesan negatif terhadap konsep ketuhanan dalam agama Kristian. Telah dimaklumi bahawa kalimah ‘Allah’ itu adalah kalimah yang didominasi oleh umat Melayu Islam secara politik dan kebudayaan yang terdiri daripada 60% penduduk Malaysia berbanding hanya 9.1% penganut Kristian pelbagai mazhab. Bukankah dengan penggunaan peristilahan yang sama bakal menimbulkan kecelaruan dalam kalangan penganut Kristian berbahasa Melayu sendiri? Justeru, penterjemahan yang lebih tepat seperti ‘Tuhan’ sepatutnya digunakan oleh Gereja Katolik bagi menjamin kepercayaan agama Kristian sentiasa terpelihara selain mengelakkan kekeliruan.Alasan kelima: Mendakwa kerajaan tidak mempunyai hak untuk campurtangandi dalam urusan dalaman gereja berdasarkan hak yang diberi oleh Perkara 11(3a)Perlembagaan Persekutuan.Hujah-hujah menolak:a) Alasan ini adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya kerajaan telah diberi hak oleh Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 11(4) (untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam). Di bawah peruntukan ini kerajaan (sama ada kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri) telah menggubal undang-undang mengawal dan menyekat pengembangan agama bukan Islam terhadap umat Islam. Sebagai contoh Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Negeri Terengganu 1980, Seksyen 9 menyebut; (melarang seseorang (bukan Islam) daripada menggunakan perkataan-perkataan tertentu baik dalam tulisan, ucapan atau kenyataan untuk menggambarkan antaranya kepercayaan atau konsep mana mana agama bukan Islam. Perkataan-perkataan itu termasuklah Allah, Ilahi, Rasul, Nabi, Wahyu, Iman, Imam, Syariah, Ulama, Dakwah, Ibadah, Injil dan lain-lain). Peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai terjemahan kepada perkataan ‘god’ di dalam Bible adalah menyalahi undang-undang yang sedang berkuatkuasa di negara ini. Oleh itu, ia tidak boleh disifatkan sebagai urusan dalaman gereja.Hujah-hujah TambahanSebagai tambahan kepada hujah-hujah tadi, empat persoalan dikemukakan terhadap Gereja Katolik berhubung tuntutan mereka yang memerlukan jawapan bagi umat Islam di Malaysia iaitu:a) Mengapa Gereja Katolik tidak menggunakan kalimah asal bagi tuhan sebagaimana yang terkandung dalam bahasa asal kitab mereka? Mengapa nama tuhan perlu diterjemah sedangkan nama tuhan adalah satu kata nama khas yang sepatutnya digunapakai tanpa mengira bahasa pertuturan si penganut agama. Bukankah kalimah tuhan dalam Bible berbahasa Ibrani ialah Elohim, El, Eloh atau Elah?b) Mengapa masih wujud percanggahan antara penganut Kristian tentang gelaran kepada tuhan? Pada Ogos 2007, seorang paderi Roman Katolik di Belanda, Tiny Muskens, telah membuat seruan supaya penganut Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’. Bagaimanapun seruan tersebut telah mendapat bantahan daripada penganut Kristian sama ada dalam kalangan Protestan mahupun Katolik. Presiden Liga Katolik Bagi Hak Agama dan Sivil telah membantah saranan tersebut dalam kenyataannya, “Bishop Martinus Tiny Muskens can pray to “Allah” all he wants, but only addlepated Catholics will follow his lead. It is not a good sign when members of the Catholic hierarchy indulge in a fawning exchange with Muslims, or those of any other religion”. Manakala Pengerusi General Synod of the Dutch Protestant Church, Gerrit de Fijter juga menolak cadangan Muskens supaya penganut Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’, beliau berkata, “I applaud every attempt to encourage dialogue withMuslims, but I doubt the sense of this maneuver”.Di samping itu, terdapat artikel berbahasa Arab tulisan Izzat Andrews, seorang penganut Kristian Koptik di Mesir berjudul ‘Allah bukan tuhan agama Kristian dan Yahudi’. Beliau mengatakan bahawa kalimah ‘Allah’ hanya berasal daripada penggunaan orang Jahiliyyah yang merujuk kepada tuhan bulan. Ia tidak pernah termaktub dalam kitab-kitab Yahudi mahupun Nasrani. Tuhan bagi agama Kristian ialah Elohim. Kenyataan-kenyataan di atas jelas menunjukkan bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi agama Kristian masih menjadi suatu polemik dalam kalangan agamawan Kristian. Oleh itu apa hujah Gereja Katolik di Malaysia untuk mempertahankan penggunaan kalimah ‘Allah’ sedangkan ia sendiri belum dimuktamadkan oleh Kristian di peringkat dunia?c) Sebagaimana hujah yang telah dikemukakan sebelum ini, penjajah Kristian yang datang ke Tanah Melayu mempunyai dua matlamat utama. Antaranya ialah untuk menyebarkan agama Kristian ke seluruh rantau ini. Laporan Bernama yang dipetik dari majalah The Minaret terbitan Pusat Islam California mengatakan pendakyah Kristian menjadikan Malaysia antara negara sasaran bagi satu gerakan Kristianisasi yang digelar “Window 10/40”. Ini kerana Malaysia salah satu negara yang terletak di antara garis lintang 10 dan 40 di peta dunia. Malah dalam satu laporan, Jabatan Agama Islam Johor bersama-sama dengan Kementerian Dalam Negeri telah merampas 250 judul buku mengenai ajaran Kristian dalam bahasa Melayu. Buku-buku tersebut menggunakan judul seperti Kaabah, Wahyu Ilahi dan Mengenal Rasul. Sekali pandang kepada tajuk-tajuknya ia seperti taktik untuk cuba menarik minat orang-orang Islam membaca buku-buku ini. Oleh itu, apa jaminan Gereja Katolik untuk mengatakan bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’ hanya terbatas buat penganut Kristian dan bukan terhadap umat Islam?d) Adakah Gereja Katolik bersetuju sekiranya dikatakan bahawa fakta-fakta tentang tuhan di dalam Bible itu tidak sejelas dan setepat al-Quran malah bercanggah antara satu sama lain. Sebagai contoh, terdapat ayat di dalam Bible yang merujuk kepada ke-Esaan tuhan seperti di dalam Perjanjian Lama yang menyebut; Ingatlah wahai bangsa Israel! Tuhan satu-satunya ialah Allah kita. Bagaimanapun di tempat yang lain banyak ayat yang menyanggah ke-Esaan tuhan seperti di dalam Perjanjian Baru; Setelah semua orang dibaptis, Jesus juga dibaptis. Ketika Dia berdoa, langitterbuka, dan Roh Allah berwujud burung merpati turun ke atas-Nya. Lalu terdengar satu suara dari Syurga mengatakan: “Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hatiKu.”Sedangkan fakta-fakta tentang Allah di dalam al-Quran amat konsisten dan tidak pernah berubah-ubah. Surah al-Ikhlas menyebut dengan jelas siapakah ‘Allah’ yang sebenar. Allah SWT berfirman:Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa; “Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “ Ia tidak beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang setara denganNya”.Sehubungan itu, al-Quran mengajar umat Islam apabila berlaku pertembungan antara Islam dengan ahli kitab (Yahudi dan Kristian), menjadi tanggungjawab umat Islam menyeru mereka supaya menerima konsep ‘Allah’ sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Quran tersebut. Allah SWT berfirman berkenaan hal ini di dalam surah Ali Imran ayat 64:Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.Persoalannya adakah Gereja Katolik bersedia untuk mempertimbangkan seruan al-Qur’an untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dengan merujuk kepada hakikat yang sama iaitu Tuhan Yang Maha Esa tanpa sebarang sekutu bagi-Nya?Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa KebangsaanMuzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008 memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja.Pandangan Tokoh Ulama Luar NegaraPandangan Wakil al-Azhar (Timbalan Syeikh al-Azhar) dan Ketua Lajnah Dialog Antara Agama al-Azhar, Fadhilat al-Syeikh Abdul Fattah ‘AllamBeliau berpendapat bahawa tindakan kerajaan Malaysia menegah penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam adalah tepat. Ini kerana kalimah Allah tidak boleh disamaertikan dengan kalimah Rabb yang membawa makna Yang Mewujudkan. Sebagaimana maklum penganut bukan Islam menamakan sebarang tuhan yang mereka sembah seperti batu, haiwan, matahari dan lain-lain sebagai Allah. Hal ini sudah tentu amat tidak wajar sama sekali dan menyalahi maksud kalimah Allah itu sendiri sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur’an dan al- Hadith.Pandangan Penasihat Undang-undang Kementerian Kehakiman Arab Saudi, Syeikh Abdul Muhsin al-‘AbikanBeliau berpendapat bahawa pendekatan Kerajaan Malaysia ini adalah bertujuan untuk mengelakkan daripada penyalahgunaan nama ‘Allah’ melainkan hanya kepada Yang Maha Pencipta (tuhan yang sebenar ). Ia kerana terdapat agama agama lain yang juga menggunakan kalimah Allah bagi agama mereka sedangkan mereka adalah penyembah berhala, oleh itu nama ‘Allah’ tidak sepatutnya digunakan bagi menggambarkan tuhan-tuhan yang selain-Nya.Tokoh Pergerakan Perlembagaan Islam (Islamic Constitutional Movement)Kuwait, Syeikh Abdul Hamid al-BallaliBeliau menyokong penuh keputusan kerajaan Malaysia untuk tidak membenarkan penganut bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai panggilan bagi tuhan mereka. Beliau beralasan bahawa keputusan tersebut amat signifikan bagi memelihara maksud istilah sebenar bagi kalimah Allah. Umat yang gagal memelihara istilah-istilah agamanya adalah umat yang leka. Sedangkan Allah SWT telah mengangkat umat ini sebagai sebaik-baik umat.Menurutnya lagi umat Islam perlu sedar banyak istilah-istilah yang berasal daripada Islam pada hari ini telah cuba dieksploitasi, disalahguna atau dipesongkan maknanya oleh pihak tertentu. Ianya seperti istilah ‘syahid’ yang juga digunapakai bagi penganut bukan Islam. Istilah ‘riba’ yang ditukarkan kepada ‘faedah bank’. Istilah ‘khamar’ yang ditukarkan kepada ‘minuman rohani’. Istilah ‘liwat’ yang ditukarkan kepada istilah ‘hubungan sesama jenis’. Persoalannya adakah umat Islam sedar tentang fenomena ini sebagaimana kesedaran yang dipamerkan oleh Kerajaan Malaysia? Keputusan KerajaanKeputusan mesyuarat Kabinet bertarikh 16 Mei 1986 juga telah memutuskan bahawa perkataan Allah adalah termasuk antara kalimah-kalimah yang dilarang penggunaannya oleh mereka yang bukan beragama Islam. Malah penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Solat dan Kaabah telah pun diwartakan hanya eksklusif buat umat Islam sahaja di bawah Warta P.U (A) 15/82 dan pekeliling KKDN. S.59/3/6/A bertarikh 5 Disember 1986. Manakala Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 3 Januari 2008, memutuskan untuk mengekalkan larangan tersebut sebagaimana yang pernah diputuskan pada 18 Oktober dan 1 November 2006.KesimpulanBerdasarkan hujah-hujah yang telah dinyatakan, tiada sebab untuk kerajaan membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada pihak Kristian. Malah keputusan kerajaan adalah selari dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menobatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Umat beragama di Malaysia telah sedia maklum bahawa sebarang isu yang berkaitan dengan Islam sama ada secara langsung atau tidak seharusnya menghormati kedudukan istimewa agama Islam dan umat Melayu Islam di negara ini.RujukanIbn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘AzimAl-Thabari, Jami‘ al-Bayan fi Tafsir al-Qur’an_______(1990), Mengapa Kalimah Allah?, Bahagian Hal Ehwal Islam, JPM KL.A.S Hornby(1985), Oxford Advanced Learner’s Dictionary Of Current English,Oxford University Press, Great Britain.Neill,S(1956). Colonialism and Christian Missions. London: Lutterworth Press.Berita Harian, 4 Februari 1997Utusan Malaysia bertarikh 3 Februari 1997Al-Kitab, The Bible Society Of Malaysiahttp://www.news.com.au/story/0,23599,22254040-13762,00.html.http://www.coptichistory.org/new_page_197.htmhttp://www.britannica.com/eb/article-9005770/Allah.http://www.newadvent.org/cathen/01316a.htm.http://sbmb.dbp.gov.my/knb/cariankata/dbp_ka_rujukan_kamus_dbp.aspx.http://sbmb.dbp.gov.my/knb/cariankata/dbp_ka_rujukan_kamus_dbp.aspx.http://www.foxnews.com/story/0,2933,293394,00.html.23 Fail Cawangan Aqidah JAKIM.

Tuesday, January 19, 2010

ELAKKAN DIRI DARI PERBUATAN KHURAFAT DI BULAN SAFAR

Saudaraku yang dikasihi sekalian, kita sudah memasuki bulan yang kedua dalam kalendar Islam iaitu bulan Safar yang sering dikaitkan dengan bulan yang membawa sial dan malang. Justeru, marilah sama-sama kita merenung kajian ilmiah ini agar kita terhindar dari melakukan perbuatan khurafat di bulan Safar ini.

Masyarakat Arab zaman jahiliah memang terkenal dengan mengerjakan amalan-amalan yang bercanggah dengan syarak. Perjalanan kehidupan seharian mereka sentiasa dibayangi oleh amalan-amalan syirik, tahyul dan khurafat.

Contohnya, jika mereka ingin memulakan sesuatu perjalanan, mereka akan melihat gerakan-gerakan sesetengah jenis binatang seperti burung mahupun busur panah yang dilepaskan sama ada ke kiri atau ke kanan.

Mereka beranggapan arah gerakan tersebut boleh mempengaruhi keburukan atau kebaikan yang mungkin dihadapi dalam perjalanan tersebut. Sekiranya pada tanggapan mereka gerakan tersebut menunjukkan alamat yang tidak baik maka mereka membatalkan hasrat untuk meneruskan perjalanan tersebut. Perkara sebegini disebutkan tathayyur atau meramalkan sesuatu kejadian yang buruk disebabkan oleh sesuatu perkara.

Islam menyelar budaya tathayyur dan menganggap ia perbuatan yang mencemar kemurnian tauhid.

Islam meletakkan kejadian sesuatu perkara itu bergantung kepada kehendak dan kekuasaan Allah semata-mata. Firman-Nya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”. (al-Taubah: 51)
Menyandarkan sesuatu musibah bakal menimpa kerana sesuatu perkara seperti gerakan binatang, kedudukan bintang, waktu atau masa tertentu dan lain-lain adalah perbuatan yang tercela kerana segala sesuatu itu ditetapkan oleh Allah tanpa ada faktor lain yang mempengaruhi keputusan-Nya.

Firman Allah s.w.t., Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya ditetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui. (al-A’raaf: 131)
Oleh itu, sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan tathayyur maka dia terjebak ke lembah kesyirikan.

Daripada Abdullah ibnu Umar r.a dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barang siapa yang menangguhkan hajatnya kerana al-Thayrah (ramalan buruk kerana sesuatu) maka dia telah berbuat syirik”. (riwayat Imam Ahmad, no: 6748)
Namun apa yang menyedihkan setiap kali ketibaan bulan Safar, budaya jahiliah yang diperangi oleh Islam ini seakan-akan muncul semula. Safar bermaksud kosong atau meninggalkan sesuatu tempat.

Penamaan bulan yang kedua ini sebagai Safar adalah kerana kebiasaan orang Arab meninggalkan rumah mereka pada bulan ini untuk memerangi musuh-musuh dan mereka juga suka mengembara pada bulan ini. Kebanyakan orang Arab jahiliah beranggapan terdapat kesialan pada bulan Safar ini. Ternyata pemikiran jahiliah ini masih diwarisi oleh segelintir kecil umat Islam zaman ini akibat lemahnya keimanan dalam jiwa dan kejahilan mereka terhadap ilmu tauhid.

Mereka beranggapan bulan Safar adalah bulan di mana Allah menurunkan kemarahan dan hukuman ke atas dunia. Oleh itu banyak musibah dan bencana terjadi pada bulan Safar khususnya pada Rabu minggu terakhir.

Sesetengah umat Islam menghindarkan diri daripada bermusafir pada bulan Safar melainkan terdapat keperluan yang mendesak. Sebagai contoh, dalam kitab al-Futuhat al-Haqqaniy, penulis kitabnya memilih menahan diri keluar berjalan pada bulan ini dan menasihati semua pengikut tarekat mereka tidak meninggalkan rumah melainkan jika benar-benar perlu.
Dalam kitab tersebut dikhabarkan bahawa Sheikh tarekat mereka iaitu Abdullah Faiz Daghestani berkata: “Pada hari Rabu terakhir bulan Safar, 70,000 penderitaan (bala) akan menimpa dunia. Barang siapa yang mengekalkan adab ini yang disebut (beberapa amalan yang tertentu), dia akan dilindungi oleh Allah yang Maha Kuasa”.

Bagi segelintir masyarakat Melayu pula mengelak mengadakan majlis perkahwinan pada bulan Safar kerana dipercayai jodoh pasangan pengantin itu tidak kekal dan kelak akan susah untuk mendapatkan zuriat.

Ada juga yang beranggapan bayi yang lahir pada bulan Safar bernasib malang dan hendaklah dijalankan satu upacara khas untuk membuang nasib malang tersebut. Kesemua ini merupakan perkara-perkara tahyul dan khurafat yang harus dibanteras sehingga ke akar umbi.
Hayatilah firman-Nya, Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah.... (al-Taghaabun: 11)

Lantaran itu beberapa amalan bidaah dicipta sempena bulan Safar bertujuan menghindari sebarang bentuk malapetaka yang berkaitan dengan kedatangan bulan tersebut.

Mandi safar
Orang Melayu satu ketika dahulu mengamalkan mandi safar atau mandi beramai-ramai di sungai mahupun pantai yang dianggap sebagai satu ritual menolak bala pada bulan Safar serta menghapuskan dosa.
Orang Melayu berarak ke destinasi terpilih diiringi alunan muzik, nyanyian, jampi serapah dan alunan zikir tertentu. Setelah itu mereka membaca jampi atau menulis ayat-ayat tertentu di atas kertas lalu memasukkannya ke dalam bekas berisi air dan mandi dengannya.
Sebenarnya amalan mandi safar ini diwarisi daripada budaya Hindu. Walaupun pengamalannya semakin terhakis dalam umat Melayu, masih ada yang melakukan pembaharuan dalam upacara ini. Mereka menganjurkan penulisan ayat-ayat tertentu di atas kertas atau papan dan direndam dalam kolah ataupun tangki berisi air untuk seluruh ahli keluarga mandi dengannya.
Keberkatan

Syaikh Muhammad Abdussalam al-Syaqiry r.h berkata: “Orang-orang awam biasa menulis ayat-ayat tertentu tentang keselamatan di atas kertas, misalnya ayat: Salaamun ‘ala Nuuh fi ‘aalamiin. (al-Saafaat: 79)

Maksudnya, “Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam” pada hari Rabu terakhir bulan Safar, kemudian meletakkannya di dalam bekas (berisi air) untuk diminum airnya bagi mencari keberkatan kerana mereka berkeyakinan bahawa ini akan menghilangkan nasib buruk.

Ini adalah keyakinan yang sama sekali salah dan harus ditentang. Rujuk al-Sunnan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqahbi al-Adzkaar wa al-Shalawaat karya Sheikh Muhammad Abdussalam al-Syaqiry, edisi terjemahan dengan tajuk Bidaah-Bidaah Yang Dianggap Sunah, Qisthi Press, Jakarta (2004), ms. 149.
Upacara yang disebut oleh beliau ini biasanya dikerjakan di masjid di antara solat Maghrib dan Isyak pada Rabu terakhir bulan Safar.

Solat sunat

Pada hari Rabu terakhir bulan Safar kononnya disunatkan solat sunat empat rakaat. Waktu mengerjakannya adalah setelah terbit matahari dan sebelum waktu Zuhur.
Pada setiap rakaat hendaklah dibaca surah al-Fatihah (sekali), surah al-Kautsar (17 kali), al-Ikhlas (lima kali), Surah al-Falaq dan al-Naas (sekali) dengan dikerjakan dengan hanya satu tahiyat.

Setelah selesai solat ini hendaklah membaca doa berikut: “Ya Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Mulia, wahai zat yang kerana kemuliaan-Mu semua makhluk-Mu menjadi hina. Jauhkan aku dari kejahatan makhluk-Mu. Wahai zat yang Maha Baik, Indah dan Mulia, wahai Pemberi Nikmat dan Kemuliaan, wahai Zat yang tiada Tuhan kecuali Engkau, kasihanilah aku dengan rahmat-Mu wahai zat yang Maha Pengasih. Ya Allah dengan rahsia Hassan, saudaranya, ayah, ibu dan keturunannya, jauhkan aku dari kejahatan hari ini dan apa turun pada hari ini, wahai zat yang memenuhi segala keperluan dan penolak segala bencana. Semoga Allah menjauhkannya kerana Dia yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Semoga selawat dan salam tetap terlimpahkan kepada Muhammad, keluarga dan seluruh sahabatnya”.

Doa ini bersumber dari Risalah Rawi al-Dzam’an fi Fadhaail al-Asyhur al-Ayyam, ms. 4. Penulis nukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry, edisi terjemahan dengan tajuk Ritual Bidaah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta (2003), ms. 139
Nyata tidak ada dalil yang sah menunjukkan solat serta bacaan doa tersebut disunatkan. Apatah dalam doa tersebut terdapat lafaz-lafaz tawassul yang dilarang oleh syarak iaitu menjadikan Hassan (r.a), Hussain (r.a), Ali (r.a), Fatimah (r.a) serta keturunan mereka sebagai perantara dalam berdoa.

Allah s.w.t. memerintahkan hamba-Nya berdoa secara terus kepada-Nya sebagaimana firman-Nya, Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. (al-Ghaafir: 60)

Bacaan surah dan zikir tertentu

Dalam buku al-Futuhat al-Haqqaniy pengikut tarekat tersebut diajar amalan tertentu untuk hari Rabu terakhir bulan Safar bertujuan menolak bala. Di antara amalannya adalah membaca kalimah syahadah tiga kali, beristighfar (300 kali), membaca ayat al-Kursi dan suraf al-Fiil (tujuh kali) dan dihadiahkan kepada diri sendiri dan juga ahli keluarga.
Memberi sedekah
Kononnya dianjurkan untuk memperbanyakkan sedekah pada bulan Safar bertujuan menjauhkan diri daripada penderitaan dan nasib malang.

Berkorban

Terdapat juga segelintir pihak yang beranggapan dianjur mengerjakan ibadah korban pada tarikh 27 Safar.
Kesemua amalan yang dikhususkan sempena bulan Safar di atas tidak pernah diperintah oleh Rasulullah s.a.w. dan tiada seorang sahabat mahupun para al-Salafussoleh yang mengamalkannya.

Sabda Rasulullah s.a.w., Barang siapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia. (riwayat Imam al-Bukhari, no: 2697).

Oleh: MOHD. YAAKUB MOHD. YUNUS ialah Penolong Naib Presiden Bahagian Perbankan Perniagaan, Affin Bank Berhad.

Wednesday, January 6, 2010

Rakaman Khutbah Jumaat 1.1.2010

Rakaman khutbah Jumaat pada 1/1/2010 di Masjid Saidina Ali, Kem PGA Kulim.

Tajuk Khutbah: Tangungjawab Ibu Bapa terhadap Pembelajaran Anak-Anak


boleh download dalam format amr:

http://www.mediafire.com/?yzydn1jttlj

Rakaman Kuliah Muslimat 5.1.2010

Rakaman kuliah muslimat pada 5/1/2010 di Surau Tmn Tiram, Lunas.
(Kitab Penawar bagi Hati).

Tajuk perbahasan:Bab Keenam Pada Kasih akan Kemegahan

boleh download dalam format amr:

http://www.mediafire.com/?airbzwnmgjy
MUHAMMAD TAKIYUDIN SUKERI © 2008. Design by :vio Templates Sponsored by: gold bola